Dasar Perumahan Negara 2019 Digubal Jabatan Perumahan Negara

Berikut adalah Dasar Perumahan Negara (DPR) yang telah diwartakan oleh Jabatan Perumahan Negara Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan bagi memastikan pihak kerajaan terus memenuhi permintaan perumahan serta mensejahterakan rakyat.

Matlamat Dasar Perumahan Negara 2019


Menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kemapanan hidup rakyat.

Objektif Dasar Perumahan Negara 2019


  • Menyediakan perumahan yang mencukupi dan berkualiti dengan kemudahan yang lengkap dan persekitaran yang kondusif
  • Meningkatkan keupayaan dan aksesibiliti rakyat bagi memiliki atau menyewa rumah
  • Menetapkan hala tuju kemampanan sektor perumahan

Dasar Perumahan Negara Bina Rumah Atas Tanah Sendiri

Teras & Dasar-dasar digubalkan.


Dasar Perumahan Negara telah digubal berdasarkan 6 TERAS utama dengan 20 DASAR.

TERAS 1


Penyediaan Perumahan yang Mencukupi Mengikut Keperluan Khusus Golongan yang Memerlukannya

DRN 1.1

Peningkatan peranan agensi-agensi Kerajaan di peringkat negeri selain daripada Kerajaan Persekutuan & pihak swasta dalam meneruskan usaha penyediaan PRMM untuk disewa atau dimiliki;

DRN 1.2

Penyediaan perumahan untuk semua golongan rakyat terutamanya rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah dan menggalakkan penyediaan rumah kos sederhana untuk golongan berpendapatan sederhana; dan

DRN 1.3

Kerajaan Negeri diberi fleksibiliti dalam penentuan kuota Rumah Kos Rendah (RKR) yang perlu dibina dalam projek pemajuan bercampur mengikut kesesuaian lokasi dan permintaan.

TERAS 2


Peningkatan Kualiti & Produktiviti Pembinaan Perumahan

DRN 2.1

Penggunaan tenaga kerja mahir dan terlatih yang bertauliah bagi kerja - kerja pembinaan bangunan bagi meningkatkan kualiti rumah melalui sistem akreditasi yang telah diiktiraf;

DRN 2.2

Penetapan standard kualiti dan spesifikasi minimum perumahan; dan

DRN 2.3

Peningkatan penggunaan bahan-bahan binaan tempatan.

TERAS 3


Peningkatan Keberkesanan Pelaksanaan dan Memastikan Pematuhan Kepada Sistem Penyampaian Perkhidmatan Berkaitan Perumahan

DRN 3.1

Penyediaan, pengemaskinian dan penguatkuasaan perundangan, peraturan- peraturan dan garis panduan yang berkaitan dengan sektor perumahan;

DRN 3.2

Peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan berkaitan dengan perumahan melalui penyelarasan dasar dan pelaksanaan yang melibatkan pelbagai agensi;

DRN 3.3

Penggalakan kaedah BKJ dalam sistem penyediaan perumahan;

DRN 3.4

Peningkatan hubungan dan kerjasama di kalangan pihak Kerajaan, swasta dan badanbadan profesional dalam sektor perumahan; dan

DRN 3.5

Program-program perumahan awam di peringkat persekutuan dipertanggungjawabkan kepada hanya satu agensi persekutuan yang akan merancang, melaksana, menjual/menyewa dan menyenggara perumahan awam. Di peringkat negeri pula, ianya akan terus dipertanggungjawabkan melalui agensi-agensi di bawahnya.


TERAS 4


Peningkatan Keupayaan Rakyat Bagi Memiliki Rumah Serta Memperbaiki Akses Kepada Penyewaan Rumah

DRN 4.1

Penentuan paras harga rumah serta pengawalan terhadap pemilikan dan penjualan Rumah Kos Rendah (RKR) bagi tujuan mengelakkan spekulasi;

DRN 4.2

Penentuan kadar sewa RKR awam yang realistik; dan

DRN 4.3

Menyedia dan mempertingkatkan kemudahan pembiayaan untuk membeli rumah bagi golongan berpendapatan rendah.

TERAS 5


Pemampanan Sektor Perumahan

DRN 5.1

Peningkatan penggunaan teknologi baru, inovasi dan penyediaan perumahan yang mesra alam;

DRN 5.2

Peningkatan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perumahan; dan

DRN 5.3

Penggalakan pembaharuan bandar (urban renewal) dan pembangunan semula bangunan lama selaras dengan matlamat Kerajaan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan.

TERAS 6


Peningkatan Tahap Kemudahan Sosial, Perkhidmatan Asas dan Persekitaran yang Berdaya Huni (Liveable)

DRN 6.1

Penyediaan perumahan yang lengkap dan pembangunan yang mampan dengan kemudahan dan perkhidmatan asas mengikut piawaian dan keperluan semasa serta keperluan-keperluan sosial bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif;

DRN 6.2

Pemantapan mekanisme pengurusan dan penyenggaraan bangunan berstrata dan harta bersama yang efisien; dan

DRN 6.3

Pelaksanaan konsep Bandar Selamat yang berkaitan dengan kawasan perumahan.

Sumber: Jabatan Perumahan Negara

Tiada ulasan:

Catat Komen

Konten Terkait